Polis rampas 2 singa peliharaan didakwa dibeli dari zoo

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand merampas dua singa peliharaan dari sebuah rumah sewa di wilayah timur Chonburi selepas menerima aduan haiwan itu berkeliaran.

Aduan berkenaan dimuat naik di Facebook awal minggu ini, mendakwa singa dipelihara penyewa rumah terbabit beberapa kali dilihat berkeliaran di jalan raya, menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan penduduk.

Polis Chonburi dan pegawai Jabatan Taman Nasional, Haiwan Liar dan Konservasi Tumbuhan (DNP) kelmarin, menemui seekor singa jantan dan betina putih berusia 10 bulan serta dua anjing Rottweiler, selepas merempuh rumah di daerah Bang Lamung.

Rumah itu didiami Jarinyaporn Kaewsai, 28, dan dua pekerjanya.

Pegawai DNP menggunakan ubat penenang untuk memindahkan singa itu ke Pusat Pembiakan Haiwan Liar Bang Lamung bagi siasatan lanjut, selain polis mendakwa Jarinyaporn melanggar Akta Penyelidikan dan Perlindungan Haiwan Liar.

Jarinyaporn mengakui memiliki haiwan itu, selain menjelaskan singa terbabit kadang-kadang terlepas apabila pintu pagar elektronik mengalami kerosakan.

Wanita itu menunjukkan bukti pembelian singa bernilai 500,000 baht (RM66,361) setiap seekor dari zoo di wilayah Nakhon Pathom, pada Disember 2022 ketika haiwan terbabit berusia 45 hari.

Katanya, dia sedang menguruskan penjualan semula singa terbabit kepada zoo yang akan mengambil haiwan itu dalam tempoh dua hari lagi.

Namun, pegawai mendapati dua percanggahan, iaitu dokumen menunjukkan dua singa jantan, manakala nombor mikrocip yang menjadi syarat untuk memiliki singa hanya sepadan dengan salah satu daripada haiwan terbabit.

Pegawai juga mendapati pemilik tidak mengemukakan pendaftaran pemilikan singa kepada DNP dengan ia melanggar undang-undang haiwan dilindungi.

Singa adalah haiwan dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Haiwan dan Flora Liar Terancam (CITES).

Sementara itu, polis berkata, pihak menjual singa kepada Jarinyaporn adalah premis sama yang pernah menjual seekor anak singa kepada seorang wanita Thailand, yang didakwa memiliki haiwan dilindungi tanpa melaporkannya, kelmarin.

Siasatan kes itu dibuat selepas tular klip video yang memaparkan warga asing mengembara sekitar bandar Pattaya, menaiki Bentley berhud dengan singa diletakkan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Kegagalan melaporkan pemilikan singa boleh dihukum penjara maksimum selama setahun, denda sehingga 100,000 baht (RM13,268.31) atau kedua-duanya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *